Monday, May 2, 2011

Biarlah Aku Tahu Akan Diriku

Pernahkah kita bertanya kenapa orang suka meletakkan kesilapan pada bahu orang lain? Pernahkah kita bertanya kenapa orang suka menunding jari mengatakan segala punca kekhilafan pada orang lain? Pernah kita bertanya kenapa orang takut mengaku salah? Pernahkah kita bertanya kenapa orang suka melihat jiwa orang lain menjadi tidak tenteram?

Ingin juga aku bertanya pada yang suka menyalahkan orang lain, apakah keuntungan bebuat demikian. Ingin juga ku bertanya pada yang suka menunding jari, adakah tidak ada sekelumit perasaan bersalah. Ingin juga aku bertanya pada yang tidak berani mengaku salah, tidak percayakah pada diri sendiri. Ingin juga aku bertanya pada yang suka menghancurkan perasaan orang, tidak adakah rasa empati mahupun simpati.

Adakala aku rasa rimas pada rasa hati. Kadang-kadang jemu dengan kekacauan pada jiwa. Rasanya ingin bebas dari segala kekalutan duniawi namun itu yang harus kutempuh sepanjang hayat. Bukan aku hendak mengeluh tapi kekadang tidak tahu bagaimana mahu merungkai segala yang kusut. Akhirya aku sendiri yang tersungkur kerana terlalu ingin menjaga hati-hati yang jujur. Tapi jujurkah aku? Ikhlaskah aku dalam ingin merungkai segalanya.

Harus aku juga yang perlu memuhasabah diri. Anggaplah saja, apa yang berlaku punya hikmah disebaliknya. Agar aku menjadi umat yang lebih berwaspada. Menjadi insan yang lebih kenal akan diri sendiri. Biarlah aku yang mengimbas kealpaan diri. Mencari kelemahan dan menangisi kerugian yang ditanggung agar dapat aku insafi.

Archives