Wednesday, June 3, 2009

Kenangan sewaktu kecil kadang-kala bisa membuatkan kita tersenyum sendirian. Manakan tidak bila menyelongkar ruang laci di almari lama terbit semula foto-foto kenangan yang membawa kita kembali ke masa lampau yang penuh kemeriahan.

Aku pernah bertanya pada Ibu, semasa kecil dulu aku ni nakal tak? Ibu kata aku ni bukannya nakal tapi tak reti nak duduk diam. Apa yang abang-abang dengan kawan-kawannya buat aku pun nak ikut sama. Perangai pun dah macam lelaki. Tapi aku tahu walau aku ni agak "Tomboi" dulu, mak dan ayah tetap sayang. Maklumlah anak perempuan seorang.

Pernah tak dihati kita apabila pertama kali menjenguk wajah ke muka dunia tentang segala yang telah disediakan untuk diri kita? Sebenarnya, tak sekelumit pun terbit diruang sanubari kita akan segala apa yang telah disediakan untuk kita di dunia ini. Kita lahir bak mutiara. Putih bersih tanpa ada secalit pun warna kelabu pada diri kita. Kita sendirilah yang mencorakkan kehidupan kita dengan berbagai warna.

Aku selongkar lagi foto-foto lama kat dalam laci. Jumpa pula gambar aku dengan abang-abangku. Dulu masa aku kecil memang aku amat rapat dengan kedua-dua abangku. Maklumlah aku bukannya ada kawan. Kalau ada pun semuanya kawan-kawan abang aku. Apalagi lagi panjang pokoklah... main bola la.... itulah permainan aku masa kecik-kecik. Nak harap aku main pondok-pondok. Hmmm... tak merasalah.
Zaman kanak-kanak memang indah sekali. Terbayang diruang mata jerit pekik ketika aku berebut barang mainan. Gelak ketawa ketika menyambut ayah pulang dari kerja. Merengek-rengek di kaki ibu bila inginkan perhatian. Hmm... segalanya bagai baru semalam terjadi.

Kini masing-masing telah dewasa. Punya kehidupan sendiri. Punya tanggungjawab sendiri. Masa lalu hanya tinggal kenangan. Sememangnya sewaktu kecil kita di dalam dakapan penuh kasih sang ibu, kita diasuh, dibesarkan dengan penuh tawakal. Doa tidak pernah luput dari bibir semoga anak yang dilahirkan menjadi insan yang berguna. Sehening kasih ibu, seindah cinta ayah, kita membesar sebagai insan yang penuh dengan tanggungjawab.
Setelah dewasa lahirlah cita-cita mengikut kehendak sendiri. Adakala protes dari ayah dan keluarga tidak pernah dihiraukan kerana yakin akan kebolehan sendiri. Akhirnya mereka sendiri akur yang si anak telah dewasa dan mampu berdikari.
Aku juga demikian. Walaupun aku anak perempuan, aku tidak pernah sekalipun mahu mengalah akan ketentuan alam. Demi cita-cita, segala apa yang direncanakan akan aku usahakan sehingga berhasil. Bak kata orang, walau seribu badai melanda namun mengaku kalah tanpa berjuang tidak pernah sekali.

Inilah langkah perjuanganku. Langkah kegigihan untuk mencapai segulung ijazah walaupun terpaksa mengharung berbagai liku perjuangan. Inilah impianku. Inilah azamku. Dengan berkat doa suami tercinta. Bersama dorongan keluarga tersayang. Diiringi langkah sahabat-handai yang memahami segala apa yang dicitakan telah berada dalam gengaman. Namun bukan setakat ini perjuanganku. Masih terasa jauh perjalanan yang perlu kulalui. Masih terlalu luas pengalaman yang ingin kurenangi. Semuanya kerana impian yang tidak pernah padam. Cita-cita yang tidak pernah hilang. Yang pasti langkah kegigihan ini akan tetap ku teruskan semoga menjadi pendoman buat generasiku di masa hadapan.


No comments :

Post a Comment

Archives